JOM KLIK2...

Tuesday 3 July 2012

Kesan kartun kepada kanak-kanak



Sejak bertahun-tahun dahulu kanak-kanak sudah minat terhadap kartun sehinggakan kadangkala tingkahlaku dan pemikiran mereka dalam kehidupan seharian juga adalah berdasarkan kartun kegemaran mereka. Biasanya, kanak-kanak mula menonton kartun seawal usia enam bulan, dan didapati pada usia dua atau tiga tahun, mereka menjadi penonton paling bersemangat.Menurut Aslin dan Smith(1988) keupayaan penglihatan bayi menjadi lebih baik apabila ia membesar, malah ketajaman penglihatan bayi hampir kepada ketajaman penglihatan orang dewasa apabila ia berumur enam bulan. Kanak-kanak yang menonton lebih banyak kartun di televisyen akan berpotensi untuk mengalami kesan samaada kesan yang negative dan positif terhadap tingkahlaku mahupun perkembangan kognitif kanak-kanak melalui peniruan. Peniruan ini adalah disebabkan kanak-kanak ingin menjadi seperti superhero kegemaran mereka. Menurut Albert Bandura(1986,1989) peniruan boleh menjadi sebagai alat untuk proses pembelajaran dan tingkahlaku melalui pemerhatian seseorang terhapap individu lain atau model-model simbolik lain seperti televisyen dan kemudiannya diperteguhkan lagi. Tidak semua kanak-kanak yang menonton televisyen meniru atau mengikut tingkahlaku yang ditonton oleh kartun kegemaran mereka khususnya. Namun mereka lebih berminat untuk menjadikan kartun itu sebagai model yang akan mendatangkan kesan terhadap psikologi mahupun dalam aspek mereka bertingkahlaku.  Jika kita menfokuskan kesan secara psikologi terhadap kanak-kanak disebabkan oleh pengaruh kartun,masalah yang mungkin dialami oleh kanak-kanak akan melibatkan diri mereka melalui sudut emosi , perasaan , tingkahlaku , perkembangan minda dan sebagainya.

Kesan terhadap pelajaran
Menurut kajian terbaru yang dibuat oleh Dr Iman Sharif dari Kolej Perubatan Albert Einstein di Bronx, New York separuh daripada responden yang tidak menonton kartun menunjukkan kecemerlangan dalam pelajarannya. Jabatan Pendidikan California(1980)  mengkaji tabiat menonton televisyen dan markah ujian bagi setengah juta kanak-kanak turut mendapati terdapat hubungan langsung di antara jumlah masa seseorang kanak-kanak menonton televisyen dengan jumlah markah yang diperolehi dalam ujian pencapaian yang diseragamkan. Lebih banyak televisyen ditonton kanak-kanak, lebih rendah pencapaiannya.melaluinya, dapat dilihat bahawa pengaruh kartun telah mendorong kanak-kanak untuk duduk dihadapan televisyen dengan lebih lama. Selain itu menonton kartun yang terlalu lama juga akan menyebabkan pemikiran mereka hanya menumpukan pada kartun yang ditontonnya sahaja sehingga terbawa-bawa di sekolah. Contohnya, apabila di sekolah, Aiman ini tidak akan menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada pengajaran dan pembelajaran yang sedang berjalan di dalam kelas kerana dia hanya memikirkan untuk pulang ke rumah dengan cepat dan seterusnya duduk di hadapan televisyen untuk menonton kartun. Namun begitu, terdapat juga sesetengah kartun yang boleh merangsang pembelajaran kanak-kanak. Contoh jelas yang dapat dilihat adalah melaui kartun Wordworld yang disiarkan di astro. Melalui kartun ini kanak-kanak dapat pempelajari bahasa inggeris kerana setiap watak yang dipaparkan dalam kartun tersebut dibentuk dengan menggunakan ejaan sesuatu itu dalam bahasa inggeris.

Meningkatkan risiko kecederaan
Kebanyakkan ibu bapa tidak kisah sekiranya anak-anak mereka menonton kartun asalkan tidak berunsur seks dan keganasan. Walau pun begitu, tidak semestinya kartun-kartun ini tidak memberikan kesan negative kepada mereka.  Tanpa disedari,  rancangan-rancangan kartun yang ada sebenarnya mampu memberikan risiko kecerderaan kepada anak-anak mereka. Hal ini jelas dapat dilihat apabila kebanyakan adegan kartun memaparkan aksi melompat, terjun, jatuh dari tempat tinggi, menjunam ke cerun dan banyak lagi yang sebenarnya boleh mempengaruhi kanak-kanak untuk melakukan aksi yang sama dalam dunia sebenar. Contohnya kartun “ Popeye The Sailor Man”  yang sanggup terjun dari tempat tinggi semata-mata untuk menyelamatkan kekasihnya Olive daripada Pluto. Kanak-kanak juga berkemungkinan akan meniru aksi ini sewaktu bermain. Sebagai contoh lain, dalam siri kartun “Bugs Bunny and Elmer Fudd” seringkali memaparkan adegan dimana Elmer Fudd sebagai seorang pemburu arnab (Bunny) tetapi dia seringkali gagal untuk menembak Bunny dan sebaliknya terkena pada dirinya sendiri. Apabila diteliti dengan lebih mendalam, didapati hero dalam kartun ini seringkali mencederakan dirinya sendiri. Hal ini mungkin akan ditiru oleh kanak-kanak.

Kesan terhadap mata
Seterusnya,kartun juga meninggalkan kesan ke atas penglihatan. Sebagai contohnya,kartun yang dikenali sebagai pocket monster ( kini dikenali sebagai pokemon) telah menbuka mata seluruh dunia selepas terdapat banyak kes yang melaporkan kanak – kanak menderita selepas menonton rancangan berkenaan yang telah dilaporkan oleh sebuah akhbar (Warner, 2004). Ibu bapa mula memberi tumpuan terhadap kesan menonton kartun terhadap penglihatan kanak – kanak. Walaubagaimanapun tiada bukti – bukti yang  menunjukkan bahawa menonton kartun memberi kesan ke atas penglihatan kanak – kanak. Malahan, kebanyakkan pakar mata , Adams(1992 ) pula tidak bersetuju bahawa televisyen memudaratkan penglihatan selagi mereka melihat dalam keadaan – keadaan yang sesuai iaitu keadaan sekeliling tidaklah dalam hitam legam dan kanak – kanak hendaklah duduk sekurang – kurangnya dalam jarak lima kaki dari televisyen. Sekiranya mereka duduk dalam keadaan yang bertentangan seperti yang kami nyatakan sebentar tadi ianya bukannya memudaratkan penglihatan tetapi ianya hanya akan menyebabkan keletihan mata sahaja.

Kesan terhadap otak
Bagi kesan terhadap otak pula, didapati telah banyak kajian-kajian yang dibuat mengesahkan bahawa sememangnya menonton kartun di televisyen mampu memberi impak yang negative kepada otak. Menurut Children’s Hospital and Regional Medical Center of Seattle, Washington (2004) dalam kajian mereka mendapati kanak-kanak yang menonton televisyen sebanyak tiga per empat jam sehari mempunyai risiko sebanyak 30 peratus daripada 40peratus yang lebih besar untuk mengalami masalah otak. Mereka telah mengkaji kelajuan imej-imej yang dipamerkan terhadap otak kanak-kanak.

menjejaskan moral dan perilaku
Selain itu, kartun turut menjejaskan moral dan perilaku kanak-kanak. Seperti yang kita sudah sedia maklum, kanak-kanak mudah meniru dan mengikut apa yang ada ditonton oleh mereka sama ada melalui media massa atau pun persekitaran di sekeliling mereka. Watak-watak kartun animasi hari ini menjadi idola dan pujaaan mereka. Sikap watak-watak dalam animasi kartun sangat mempengaruhi perilaku kanak-kanak. Sebagai contoh watak ultraman, Naruto, Teenage Mutani Ninja Turtle, dan pelbagai lagi. Aksi-aksi ganas dalam animasi kartun juga merupakan salah satu punca kanak-kanak pada hari ini menjadi nakal dan agresif. Apabila melihat aksi-aksi tersebut di dalam televisyen, mereka pasti ingin melakukan seperti yang dilakukan di dalam rancangan tersebut. Walaupun pada pandangan mereka, mereka hanya ingin menjadi gagah dan perkasa seperti watak-watak tersebut. Namun, rakan-rakan dan adik-beradik mereka yang lain yang turut menjadi mangsa. Terdapat juga sesetengah kes dimana haiwan juga turut menjadi mangsa perlakuan kanak-kanak yang nakal dan agresif pada hari ini. Hal ini akan meruntuhkan akhlak dan nilai kanak-kanak. Unsur-unsur seksual dan lucah seperti yang terdapat dalam kartun Sinchan, Dragon Ball pula menyebabkan mereka bertindak liar dan melakukan perkara yang tidak senonoh terhadap lawan jantina mereka. Hal ini kerana, mereka sudah didedahkan dengan perkara-perkara yang tidak sesuai dengan umur dalam rancangan kartun-kartun kegemaran mereka. Apabila mereka sering melihatnya di dalam televisyen, mereka ingin mencubanya terhadap lawan jenis mereka.seterusnya ini boleh mengakibatkan kanak-kanak mula terjebak dengan perlakuan seks diusia yang sangat muda lagi.
Kesan terhadap kemampuan berbahasa
Berdasarkan Teori pembelajaran social,kanak-kanak memperoleh keupayaan bertutur dengan cara pemerhatian dan peniruan. Menurut Chomsky(1969,1980) beliau telah mengatakan bahawa otak manusia telah diprogramkan secara semula jadi untuk membolehkan ia bertutur dan memahami bahasa sama seperti keupayaan berjalan. Begitu juga dengan kanak-kanak yang telah terpengaruh terhadap bahasa yang ditontonnya melalui rancangan cartun. Contohnya, apabila kanak-kanak menonton sesebuah rancangan kartun di televisyen, mereka akan terdorong untuk belajar berbahasa sama ada secara langsung atau tidak langsung. Antara rancangan yang mampu merangsang kemampuan berbahasa kanak-kanak adalah seperti blues Clues, Dora The Explore, Go Diego Go, dan Sesame Street. Secara tidak langsung, kanak-kanak mampu belajar menyebut perkataan-perkataan mengikut sebutan yang tepat dan gambaran yang sebenar tentang perkataan tersebut. Contohnya, Nina menonton Go Diego Go dan dia dapat mengenali tentang sesuatu haiwan dan mengetahui serba sedikit tentang haiwan tersebut seperti tempat tinggal dan makanan haiwan tersebut. Namun begitu, terdapat juga sesetengah kartun yang mampu memberi kesan negative terhadap kemampuan bertutur kanak-kanak. Antara kartun-kartun yang dimaksudkan ialah, Sinchan, Doremon dan Chibi Maruku chan. Hal ini kerana, kartun-kartun ini menggunakan perkataan-perkataan yang kesat seperti “hei orang tua, kesini kamu !!”. disini dapat dilihat sikap tidak menghormati orang tua pada kartun tersebut.